Isnin, 18 Mei 2009

PERAHU RUMPUNG, INGATANNYA TETAP KUKUH

Malam hari minggu, memang malam santai, maklum aku orang bujang. Aku dan teman-teman seperti biasa berceloteh tak mengira waktu di beranda rumah. Ketika itu aku tinggal di kampong air. Dalam gelak tawa tiba-tiba aku terdengar suara yang sering ku dengar sebelumnya;

‘Dol, dol, minyak sudah sedia? Awal tane esuk ah” sambil kakinya terus melangkah ke masjid yang berhampiran rumah kami ketika itu untuk menunaikan fardhu isyak .

“sudah, udang atu naik awal pagi gayanya. Esuk awal pasang tu” Balasku dengan nada ceria untuk pergi mengandang udang esuknya.

Maklumlah ketika itu harga udang memang tinggi, dapat udang bererti poketku untuk ke sekolah juga pasti berisi. Aku masih terbayang ketika itu aku berada di tingkatan enam atas. Duit menjadi keperluan bukan saja untuk makan dan minum di kantin elektrik malah jika tiada bas ia berguna untuk tambang bas dari Gadong menunju ke Bandar ketika itu.

Pagi-pagi lagi ketika belum sempat mentari menyinari bumi, aku sudah turun dan naik ke dalam perahu. Aku seperti biasa akan menghidupkan enjin sebagai memanaskan terlebih dahulu. Aku naik semula untuk mengambil bekalan ke laut. Aku terlihat ketika itu, dia menyediakan kopi dan minuman dan memuatkannya ke dalam botol untuk dibawa ke laut.

“bah sembahyang ku dulu, ko inda sembahyang? Hujahnya selamba.
“Bah agatah kita saja, akhir tia karang, udang atu subuh naiknya” jawabku sambil tergesa-gesa menuju pintu dapur untuk turun ke perahu semula.

Di dalam perahu hatiku rasa sangat gelisah kerana dia kurasakan terlalu lama untuk turun. Fikiranku tetap kepada kumpulan udang pagi yang meruntun banyaknya. Dengan rasa tamak, ada juga rasa marahku terhadapnya ketika itu. Hati muda katakana. Tapi ku benamkan kerana aku tahu dia baru saja lepas sembahayang. Tiba-tiba aku terlihat dirinya dengan perlahan turun melalui anak tangga satu persatu.

“batah jua kita, akhir tia ne karang abis tia udang ah ulih urang” Ujarku dengan rasa kesal.

“pelahan, , lapas sembahyang inda jua bisai inda bedoa” balasnya dengan tenang.” kitani sebalum turun membaca-baca dulu” sambungnya sambil melangkah ke dalam perahu.

Ketika dia melabuhkan punggung ke lantai perahu aku melihat mulutnya masih terkumat-kamit membaca sesuatu. Aku hanya memerhatikan tanpa mempersoalkan apa yang dibacanya.

“Bah jalan tane?” Tanyaku sebagai isyarat untuk memulakan perjalanan.

“Bata, pukat semua sudah masuk ne?” balasnya untuk memastikan tiada yang tertinggal.

Tanpa berkata akupun terus memecutkan perahu berkuasa 55 kuasa kuda dengan kelajuan separuh kekuatannya. Belumpun sampai lima minit meninggalkan rumah aku sudahpun sampai di sungai Kebun. Dengan tenang dan harapan tinggi igauan ku tersentak bila aku terlihat dari arah bertentangan ada perahu tambang membelok ke kanan kami tanpa amaran. Aku terus menyelamatkan keadaan tetapi perlangaran tetap berlaku. Aku dan pemandu perahu tambang tadi terhumban ke air. Aku umpama hilang kesedaran ketika itu dan terus tenggelam jauh ke hampir ke dasar sungai. Bila aku sedar, aku cuba menimbulkan diri ke permukaan air dan terus menjerit memanggilnya kerana aku pasti dia juga mesti terhumban. Dalam fikiranku, dia mesti menerima kesan yang lebih teruk kerana ketika itu dia berada di hadapan perahu sedanggkan aku berada di belakang. Setelah aku melihat , aku kehairanan dia tetap masih duduk di tempat yang sama dengan tidak ada perubahan tempat duduknya.

Diapun berdiri dan menggambil pengayuh untuk menghampiriku. Tapi malangnya perahu itu agak dimasuki air dan susah untuk dikayuhkan. Aku merasa hampir lemas dalam keadaan panik dan kakiku terasa sakit untuk digerakkan, mungkin terkena dinding perahu ketika kemalangan itu. Dia dengan melipatkan tenaga mengayuhkan perahu itu dan menghulurkan pengayauh kepadaku sebagai meyelamatkan nyawaku. Aku terus naik ke dalam perahu, dan terkejut yang amat sangat.

“putus kah perahu ane?” Tanyaku kepadanya untuk mendapat kepastian.

“awu, abis tia harapan kitani” jawabnya dengan wajah kesal dan sedihnya.

Dengan nada kesal, ia tetap duduk di tempat yang sama, sedang aku terus memandu perahu itu untuk menuju pulang ke rumah. Sampai saja di rumah ku ketika itu, dia terus melangkah naik ke rumah. Dengan nada kesal ia mengungkapkan kata-kata sedih kepada isterinya yang tersayang. Sedang aku tetap berada di perahu ketika itu untuk menyelamatkan enjin daripada tenggelam ke dalam air.

“Oi, abis oi. Rumpung perau ah. Manakan dapat turun ke laut lagi ne” katanya kepada isterinya yang dikenalinya ketika itu sebagai ‘oi’ sebelum menunaikan fardhu haji dan akhir-akhir ini di sebutnya sebagai ‘jah’.
“awu, rumpung, baik jua inda apa-apa” balas oi dengan kehairanan melihat keadaan perahu itu kehilangan bahagian hadapannya.

Sekarang baru aku faham, mengapa raut wajahnya menjadi sayau ketika itu. Dengan pendapatannya ketika itu, harga perahu memangsangat mahal dan sukar untuk dibelinya. Kata-katanya “abis tia harapan kitani” sudah cukup untuk aku faham sekarang ini yang perahu itu sangat tinggi nilainya dari segi harga dan sebagai penambah pendapatan kami ketika itu. Tambahan pula perahu itu merupakan perahu yang diperolehinya dari pemberian saudaranya di Batu Marang.

Sekarang juga baru aku faham, pentingnya doa dan sembahyang. Inilah pesanannya ketika akhir-akhir hayatnya, bila menjaganya dan melihat aku sembahyang di rumahnya ketika ia sedang tenat ia tetap mengingatkan dan berkata “sembahyang ani banyak kebaikkannya” Jikalah aku sembahyang ketika itu, sudah tentu aku agak lambat sedikit turun ke laut, dan kerana aku lambat itu sudah tentu perahu tersebut tidak akan menjadi perahu rumpung kerana perbedaan waktu dengan perahu tambang tadi.

Tiada ulasan: